Keramat Seorang Wanita
Syeikh Sariy Saqaty r.a adalah seorang alim dan ulamak yang
abrar. Murid-muridnya terdiri daripada pelbagai kaum yang datang
dari merata pelusuk. Salah seorang daripada muridnya adalah
seorang wanita yang solihah, jujur dan sentiasa taat dan patuh
kepada perintah Allah. Wanita ini mempunyai seorang anak
yang bernama Muhammad. Anaknya telah diserahkan kepada seorang
guru untuk mempelajari ilmu-ilmu agama dan mengaji Al-Quraan.
Pada suatu hari guru agama ini pergi ke tepi sungai Dajlah
bersama-sama anak wanita tadi untuk megambil angin sambil
bersiar-siar. Ketika guru itu duduk sambil berehat,
anak wanita tadi bermain-main di tebing sungai dan tidak di
sedari bahawa anak itu telah terun ke dalam sungai itu. Setelah
di sedari oleh guru itu dan belum sempat guru itu untuk menarik
anak itu ke darat, tiba-tiba anak itu tenggelam ke dalam sungai.
Dengan perasaan cemas guru itu mencari-cari anak itu tetapi tidak
berjumpa. Setelah puas mencari guru itu tidak dapat berbuat
apa-apa dan beliau berfikir mungkin anak itu telah mati dan di
bawa arus.
Guru tersebut merasa kesal di atas perbuatannya kerana
mengajak anak tersebut bersiar di tepi sungai. Fikirannya buntu
tidak dapat memikirkan bagaimana untuk memeberi tahu emaknya
tentang kehilangan anak tersebut, dia takut dimarahi oleh wanita
itu di atas kecuaiannya. Dengan perasaan yang tidak menentu
itu, tiba-tiba ia teringat tentang syeikh Sariy seorang ulamak
tempat ibunya mengaji, mungkin syeikh tersebut boleh membantu
menyelesaikan masalah ini. Tanpa membuang masa guru itu
terus kerumah Syeikh Sariy untuk memohon bantuannya menyelasaikan
masalah kehilangan anak kepada wanita, muridnya.
Setibanya di sana Guru itu menceritakan kepada Syeikh Sariy
tentang kehilangan anak kepada wanita itu, dia memohon supaya
mencari jalan bagaimana untuk memberi tahu ibunya tentang
kehilangan anaknya. Syeikh Sariy mengajak kawannya Al-Junid
yang kebetulan berada disitu untuk pergi ke rumah wanita itu dan
sama-sama membantu supaya wanita itu tidak mengamuk atau memaki
hamun guru itu diatas kecuaian yang menyebabkan anaknya tenggelam
di dalam sungai.
Apabila tiba di rumahnya Syeikh Sariy dan Al-Junid mengajarnya
tentang kesabaran yang perlu dihadapi kerana ia adalah dugaan
Allah, jika sesuatu musibah yang menimpanya ia adalah takdir
Allah semata-mata. Wanita itu kehairanan tentang tingkah laku
Syeikh Sariy dan kawannya Al Junid. Wanita itu berkata kepada
Syeikh Sariy "Apakah sebenarnya yang berlaku? sehingga
tuan-tuan menceritakan tentang perkara yang telah saya
ketahui". Syeikh Sariy berterus terang dan
menceritakan tentang kehilangan anaknya yang telah tenggelam ke
dalam sungai semasa anaknya bermain-main bersama-sama gurunya di
tebing sungai Dajlah.
Mendengar keterangan tersebut wanita itu berkata dengan
perasanan tenang "Insya Allah, Tuhan tidak akan membuat
sedemikian kepada aku". Wanita itu mengajak mereka supaya
menunjukkan tempat kehilangan anaknya. Mereka menuju ke
tebing sungai dan apabila sampai di sana guru itu menunjukkan
tempat anaknya tenggelam. Kata wanita itu "Apakah kamu
pasti bahawa anakku hilang di sini" Jawab guru itu
"Benar di sinilah dia tenggelam dan saya tidak sempat untuk
mememegang tangannya ketika ia tenggelam". Lalu wanita itu
menyeru nama anaknya "Hai anakku Muhamammad" beberapa
kali, tidak lama kemudian anaknya menjawab "Ibu, Saya ada
disini". wanita itu terus turun kedalam sungai lalu
menghulurkan tangannya ke dalam air dan menarik keluar anaknya.
Syeikh Sariy, Aljunid dan Gurunya hanya terpegun melihat
keajaipan yang berlaku di hadapan matanya. Syeikh Sariy berkata
"jika kita memberi tahu kepada orang, tentu mereka tidak
percaya". Jawab Aljunid "Benar kata tuan, keajaipan
tidak diperolehi oleh semua orang, kecuali mereka yang
benar-benar takwa dan patuh kepada Allah , maka Allah akan
mengurniakan kelebihan kepada mereka".
Wanita tadi memelok anaknya dangan penuh kegembiraan. Mereka
terus beredar dari situ untuk pulang kerumahnya dan tinggallah
Syeikh Sariy, Aljunid dan Guru di situ. mereka berbincang-
bincang tentang keramat yang diberikan Allah kepada wanita itu.
Syeikh Sariy berkata "Wanita itu telah mendapat alamat
bahawa anaknya masih hidup semasa ia berkata bahawa Allah tidak
akan membuat sedemikian kepadanya" Mereka bertiga pun
beredar dari situ dengan membawa kenangan yang tidak dapat di
lupakan dan mereka bersyukur kepada Allah diatas kebesaran dan
kekuasaanNya dan segala yang berlaku diatas muka bumi ini
adalah di atas ketentuanNya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar